7:43 AM

Teknik Pembelajaran Berkumpulan PraSekolah

MENINGKATKAN PENGLIBATAN MURID PRASEKOLAH DALAM
PEMBELAJARAN BERKUMPULAN MELALUI TEKNIK KUMPULAN YANG SAMA
TAHAP PEMBELAJARAN (SAME ABILITY)

1.0 PENDAHULUAN
Pendidikan prasekolah adalah pendidikan asas yang penting. Ia merupakan pendidikan awal dalam perkembangan hidup individu selepas pendidikan di rumah yang menjadi tapak bagi menyemai bibit cintakan ilmu pengetahuan dan sukakan sekolah. Oleh sebab itu, guru prasekolah perlu mempunyai pengetahuan yang luas mengenai pendidikan prasekolah yang merangkumi aspek-aspek perkembangan kanak-kanak, strategi pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran pusat prasekolah dan aspek-aspek lain yang berkaitan dengan pendidikan prasekolah. Dalam pengajaran dan pembelajaran, guru prasekolah perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak supaya pembelajaran berkesan dan membawa makna kepada murid. Dalam pendidikan prasekolah, guru prasekolah perlu mengendalikan pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk aktiviti kumpulan, individu dan kelas. Guru perlu sentiasa menggalakkan murid terlibat secara aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya mereka berasa lebih seronok untuk ke sekolah.
Pengajaran dan pembelajaran secara berkumpulan merupakan salah satu bentuk aktiviti yang sesuai untuk dijalankan dalam pengajaran dan pembelajaran prasekolah. Murid bekerjasama dalam kumpulan kecil secara koperatif untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Lyman (1998), menyatakan bahawa pembelajaran koperatif adalah salah satu strategi pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan penyertaan pelajar dalam kumpulan kecil untuk melaksanakan sesuatu aktiviti pembelajaran yang dapat membentuk interaksi positif antara mereka. Pembelajaran koperatif adalah lebih berkesan dalam meningkatkan pencapaian akademik berbanding dengan pendekatan tradisional (Davidson, 1985). Analisis 46 kes yang telah dijalankan oleh Robert Slavin (1983), menunjukkan 63% pencapaian akademik melalui pembelajaran koperatif, 33% menunjukkan perbezaan dan hanya 4% kejayaan dicapai melalui cara tradisi. Hasil kajian dalam negeri oleh S-L Gan (1992), menyatakan murid berpendapat pembelajaran serta aktiviti dalam pembelajaran koperatif adalah menyeronokkan. Oleh yang demikian, adakah kaedah pembelajaran koperatif atau berkumpulan yang dijalankan di prasekolah kini bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak ? Apakah cara atau teknik yang sesuai yang boleh digunakan untuk memastikan keberkesanan pembelajaran koperatif di prasekolah ?

2.0 PERNYATAAN MASALAH
Dalam P&P di Prasekolah, pengajaran yang dijalankan melibatkan aktiviti secara kelas, kumpulan dan individu. Aktiviti berkumpulan merupakan salah satu aktiviti yang wajib dijalankan yang melibatkan pengajaran berpasangan selama 60 minit di mana murid dibahagikan mengikut kumpulan yang telah ditetapkan. Jika dilihat pada perancangan pengajaran, aktiviti berkumpulan terdiri daripada tiga stesen yang mempunyai aktiviti yang berbeza dan setiap kumpulan akan menjalankan setiap aktiviti di ketiga-tiga stesen tersebut. Pusingan atau pertukaran stesen akan dibuat selepas 15 minit aktiviti dijalankan. Pembahagian kumpulan diberikan secara rawak mengikut bilangan nombor murid dan ahli yang terdiri daripada pelbagai jantina dan kebolehan. Objektif pembelajaran yang digariskan sama bagi ketiga-tiga kumpulan berdasarkan keseluruhan aktiviti yang dirancang.
Masalah yang timbul di mana murid tidak dapat bekerjasama dalam kumpulan. Terdapat ahli kumpulan yang menjadi penumpang yang tidak melibatkan diri secara aktif semasa aktiviti dijalankan terutamanya bagi murid yang lemah kerana belum mencapai tahap pembelajaran yang sepatutnya. Bagi murid di tahap baik akan berasa bosan kerana aktiviti yang dijalankan tidak mencapai kepada kebolehan mereka. Disebabkan hal ini, objektif yang digariskan guru tidak tercapai sekaligus menyebabkan murid tidak mendapat input yang sepenuhnya dalam aktiviti yang dijalankan. Masalah tingkah laku juga timbul seperti mengganggu ahli kumpulan yang lain menjalankan aktiviti kerana murid bosan atau tidak diberi peluang untuk menjalankan aktiviti.
Masalah juga timbul pada kami untuk merancang aktiviti yang sesuai untuk kumpulan tersebut. Jika aras pembelajaran mengikut topik yang terkini, murid lemah akan tertinggal dan jika aras direndahkan, murid baik akan memonopoli keseluruhan aktiviti atau tidak libatkan diri dalam aktiviti. Oleh yang demikian, untuk lebih adil, aktiviti untuk berkumpulan ini banyak kami fokuskan kepada aktiviti estetika seperti membuat kolaj, montaj, mewarna dan sebagainya. Namun, kami sendiri berasa kurang selesa kerana bagi kami waktu aktiviti berkumpulan ini adalah peluang untuk kami fokus pada kelemahan murid. kami sendiri berasa tidak seronok apabila melihat keadaan murid begitu.

3.0 OBJEKTIF
i. Mengenal pasti keberkesanan pembelajaran berkumpulan yang terdiri daripada ahli kumpulan yang sama tahap pembelajaran.
ii. Meningkatkan penglibatan murid dan tumpuan semasa pembelajaran berkumpulan yang terdiri daripada ahli kumpulan yang sama tahap pembelajaran.
iii. Membantu guru untuk memberikan fokus dan merancang pengajaran yang sesuai mengikut kumpulan yang sama tahap pembelajaran.

4.0 TINDAKAN / PENYELESAIAN MASALAH
Berdasarkan masalah yang timbul, kami telah memikirkan 1 kaedah yang bersesuaian untuk mengatasi masalah ini iaitu teknik kumpulan yang sama tahap pembelajaran diwujudkan. Tiga kumpulan diwujudkan iaitu kumpulan 1 bagi murid yang di tahap baik, kumpulan 2 murid di tahap sederhana dan kumpulan 3 bagi murid di tahap lemah.
Pemilihan ahli dalam kumpulan dilakukan melalui ujian pra di mana kami menyediakan senarai semak untuk mengesan tahap pembelajaran murid. Ujian yang dijalankan adalah seperti mengenal huruf A hingga Z dan mengenal nombor 1 hingga 20 (rujuk lampiran). Pemiloihan juga dipilih berdasarkan pemerhatian kami semasa sesi P&P dijalankan.
Selepas ujian di buat, kami akan memilih murid untuk memasukkan mereka kepada kumpulan-kumpulan yang sesuai dengan tahap yang mereka telah kuasai. Oleh itu, setiap kali aktiviti pengajaran berpasangan, kumpulan mengikut tahap pembelajaran akan dibentuk dan mereka sendiri mengetahui kumpulan mereka masing-masing.
Dari segi perancangan P&P, ia disediakan mengikut tahap pembelajaran murid juga. Setiap aktiviti berbeza untuk setiap kumpulan dari segi penguasaan. Objektif yang digarisakan juga berbeza.

5.0 KESAN/KELEBIHAN
• Murid seronok melakukan aktiviti dan boleh lihat kerjasama yang diwujudkan dalam kumpulan.
• Penglibatan murid aktif dan masalah tingkah laku dapat dikurangkan.
• Objektif pengajaran guru tercapai dan lebih berfokus.
• Guru dapat fokuskan kepada kelemahan murid sekaligus murid yang lemah lebih mudah untuk menguasai pembelajaran.
• Murid di tahap baik lebih seronok kerana pengajaran berfokus kepada topik yang mereka kuasai.
• Masalah tingkah laku dapat dikurangkan dan mudah untuk mengawal disiplin murid.

0 comments: